Tokyo: Ketua bola sepak Asia hari ini menyatakan rantau itu menyokong usaha Gianni Infantino untuk dipilih semula sebagai Presiden FIFA, beberapa minggu selepas beliau menerima kritikan hebat berhubung rancangan menjual sebahagian hak pertandingan Piala Dunia kepada pelabur swasta yang akhirnya dibatalkan.
Infantino, 56, menghadiri mesyuarat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Tokyo ketika presidennya, Sheikh Salman bin Ebrahim al-Khalifa, menyatakan sokongan padu terhadap beliau, sekali gus meningkatkan peluang Infantino untuk terus menerajui badan induk bola sepak dunia itu.
Pada Ogos lalu, AFC bersama badan bola sepak Eropah, UEFA, serta CONCACAF yang mewakili persatuan bola sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean, mengkritik Infantino berhubung rancangannya membuka peluang kepada pelabur swasta untuk melabur dalam pertandingan utama FIFA seperti Piala Dunia.









