KUALA LUMPUR: Kembali ke lokasi yang menyimpan kenangan zaman kecil, penyanyi dan juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mila Jirin, teruja apabila berpeluang menghiburkan masyarakat di negeri kelahirannya menerusi Malam Puisi Riong (MPR) anjuran Berita Harian (BH) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di The Esplanade, Padang Kota Lama, George Town, Pulau Pinang, malam esok.

Bagi Mila, peluang membuat persembahan di lokasi yang sering dikunjunginya ketika kecil membawa makna tersendiri, apatah lagi apabila dapat berkongsi pentas dengan barisan penggiat seni dalam acara yang mengangkat keindahan bahasa dan puisi Melayu.

Mila berkata, kepulangannya ke Padang Kota Lama kali ini cukup istimewa kerana dia bukan lagi sekadar pengunjung seperti zaman kanak-kanak, sebaliknya berpeluang menghiburkan masyarakat setempat menerusi persembahan nyanyian.