LANGKAWI: Pengusaha feri Langkawi menggesa komuniti nelayan menghentikan aktiviti memukat di alur pelayaran utama kerana tindakan itu boleh mengancam nyawa ratusan penumpang feri.

Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Dr Baharin Baharom, berkata gesaan itu susulan kejadian Feri Ekspres Bahagia 98 membawa 251 penumpang terkandas berhampiran Kuala Perlis, Rabu lalu.

"Berdasarkan pemakluman oleh Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara, kejadian jam 10.35 pagi itu dipercayai berpunca daripada aktiviti memukat dua bot nelayan di tengah alur pelayaran utama.

"Keadaan itu memaksa feri memperlahankan kelajuan sebelum dihanyutkan arus dan angin ke beting pasir sehingga enjin terhenti, menyebabkan penumpang terpaksa dipindahkan menggunakan bot kecil," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.