PUTRAJAYA: Pemilik kenderaan kini boleh mengurus penyelenggaraan kereta dengan lebih mudah dan teratur menerusi aplikasi SCRUT Garage yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus membantu mengurangkan risiko ditipu pengusaha bengkel.

Aplikasi yang dibangunkan syarikat teknologi automotif tempatan, SCRUT itu dilancarkan bersempena majlis SCRUT Appreciation Night di Bora Ombak, di sini, semalam.

Ia membolehkan pengguna menyimpan rekod penyelenggaraan, memantau keadaan kenderaan serta menerima peringatan servis dan cadangan penjagaan kereta berasaskan AI.

Pengasas Bersama SCRUT, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel berkata, aplikasi itu turut membantu pemilik kenderaan membina rekod digital lengkap berkaitan servis, pembaikan dan penjagaan kenderaan yang boleh dirujuk pada masa hadapan.