anbia@hmetro.com.my

Putrajaya: Tugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bukan sekadar turun padang menyelamatkan mangsa kemalangan atau bencana, malah mereka turut menghulurkan khidmat kemanusiaan bagi situasi luar jangkaan.

Terbaharu, APM Daerah Putrajaya dengan kerjasama APM Sepang membantu menguruskan penghantaran jenazah lelaki obesiti menggunakan lori dari Hospital Serdang ke tanah perkuburan di sini, semalam.

Misi itu digerakkan selepas pihak APM menerima permohonan bantuan kira-kira jam 10.42 pagi berikutan kekangan logistik dihadapi keluarga untuk menguruskan jenazah.

Seramai lapan anggota APM Sepang bersama dua aset logistik iaitu sebuah kenderaan utiliti dan ambulans digerakkan ke Hospital Serdang bagi membantu urusan berkenaan.