KERETA tersadai di bengkel selama berbulan-bulan bukan sahaja menyusahkan pemilik, malah boleh menyebabkan mereka menanggung kos tambahan untuk menyewa kenderaan atau menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi meneruskan urusan harian.
Situasi itu lebih membebankan apabila kerosakan membabitkan komponen utama seperti enjin atau transmisi, terutama jika kenderaan masih dalam tempoh waranti dan proses pembaikan mengambil masa terlalu lama.
Bagaimanapun, pemilik kenderaan tidak semestinya perlu menanggung semua kerugian berkenaan sendirian.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pemilik kenderaan yang berdepan masalah khususnya dalam tempoh waranti mempunyai hak mendapatkan tebus rugi sekiranya kegagalan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh munasabah.






