KUANTAN: Apabila Noorafiza Rujohan menyewakan rumahnya pada Ogos 2024 kepada lelaki yang mendakwa bekerja dengan syarikat utiliti, dia menyangka sudah menemui penyewa yang boleh dipercayai.

Dua tahun kemudian, wanita berusia 37 tahun itu berdepan mimpi buruk selepas mendapat tahu penyewanya didakwa menggunakan rumah di Taman Seri Damai di sini, untuk aktiviti perlombongan Bitcoin secara haram.

Kebimbangan menyelubungi wanita itu yang tinggal di Kuala Lipis, terutama mengenai persoalan apakah dia akan dikenakan kompaun tinggi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) disebabkan kegiatan penyewanya itu.

Noorafiza berkata, ketika bertemu lelaki itu di Kuantan, penyewa berkenaan memakai pakaian seragam kerja TNB berwarna biru, sekali gus menguatkan kepercayaannya individu itu benar-benar bekerja dengan syarikat utiliti berkenaan.