KLUANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) menerusi pengoperasian Pusat Kawalan Operasi (PKO) selama 24 jam.

Ia bagi memastikan penyelarasan tindakan kecemasan dan bantuan bencana dapat dilaksanakan dengan segera.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman, berkata langkah itu turut disokong pemantapan sistem komunikasi dan koordinasi bersama agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana pelbagai peringkat bagi menghadapi risiko banjir, kepala air dan tanah runtuh.

Beliau berkata, komunikasi antara zon termasuk selatan, timur dan tengah akan diperkemas bagi memastikan kerjasama berkesan, sekali gus membolehkan anggota dari zon lain digerakkan untuk membantu kawasan terjejas akibat bencana.