SEREMBAN – Polis menerima lima laporan berhubung penyebaran gambar wajah lima pelajar perempuan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chan Wa II, di sini, yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga menyerupai gambar lucah.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lima laporan itu diterima Balai Polis Jalan Campbell antara 20 hingga 23 Ogos lalu, membabitkan mangsa berusia 14 hingga 17 tahun.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTKK 2017) dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, ibu bapa atau penjaga mangsa bagaimanapun tidak berpuas hati berhubung tindakan terhadap suspek sehingga mengadakan sidang media kerana mendakwa tiada tindakan dikenakan terhadap pelajar terbabit.