Datuk Mustapa Long atau lebih mesra dengan panggilan ‘Tok Pa’ menzahirkan rasa gembira dan puas hati apabila kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku yang diwakilinya sejak tiga penggal pesat membangun dengan pelbagai projek kemudahan asas, pendidikan, pelancongan dan ekonomi rakyat.
Tok Pa yang sinonim dengan mudah didekati dan gemar menggunakan dialek tempatan berkata, pengalaman beliau di Biro Tatanegara (BTN) sebelum menceburi politik menjadi bekalan penting untuk membina keyakinan penduduk.
“Sejak 2013 saya memperkenalkan slogan Padang Tengku Menyapa sebagai landasan komunikasi mesra dengan rakyat. Saya lebih suka turun padang, masuk rumah ke rumah, malah kadang-kadang ke dapur untuk melihat sendiri kehidupan mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.









