Kota Bharu: Lebih 65,000 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi lebih 11,000 operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia di seluruh negara dari 1 Januari hingga 15 Oktober tahun ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Lokman Effendi Ramli.

Beliau berkata, dalam tempoh 287 hari itu, lebih 146,000 warga asing diperiksa dan lebih 45,000 daripada mereka yang ditahan telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Lokman Effendi berkata, berdasarkan jumlah operasi berkenaan, imigresen melaksanakan purata lebih 38 operasi sehari dan kira-kira 511 warga asing diperiksa manakala 228 ditahan setiap hari.

"Ini menunjukkan keseriusan pihak Imigresen dalam melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen di negara ini," katanya dalam sidang media selepas operasi penguatkuasaan di tapak projek Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini, hari ini.