MACHANG: Kemunculan dadah sintetik jenis baharu yang boleh mengubah tingkah laku penggunanya secara drastik sehingga kelihatan seperti 'zombi' semakin membimbangkan, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, ada kes individu membunuh pasangan, ibu bapa dan rakan sendiri dengan pengambilan dadah jenis itu, sekali gus menunjukkan kaitan jelas dengan kejadian keganasan berkenaan.

"Jika lihat kes-kes ini, semuanya mempunyai kaitan rapat dengan pengambilan dadah. Kaitannya sangat jelas," katanya hari ini.

Saifuddin berkata, corak pengambilan dadah juga berbeza mengikut wilayah dengan dadah sintetik lebih berleluasa di Pantai Timur, manakala di Pantai Barat membabitkan campuran pelbagai jenis bahan terlarang.