JOHOR BAHRU: Penutupan semua institusi pendidikan di Johor dilanjutkan lima hari lagi sehingga 23 Oktober ini, susulan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang masih berterusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata keputusan dibuat hasil Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor yang diadakan jam 12 tengah hari tadi selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kekal pada paras membimbangkan.

Katanya, laporan pemantauan menunjukkan kualiti udara masih tiada perubahan ketara, selain mengambil kira faktor pergerakan angin ke arah utara serta unjuran cuaca bagi tempoh tiga hingga empat hari akan datang.

"Pihak kesihatan turut menyuarakan kebimbangan dan pencegahan lebih menyeluruh terhadap risiko pendedahan berpanjangan kepada pencemaran udara, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan berisiko.