Machang: Kemunculan dadah sintetik jenis baharu yang boleh mengubah tingkah laku penggunanya secara drastik sehingga kelihatan seperti 'zombi' semakin membimbangkan, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, terdapat kes individu membunuh pasangan, ibu bapa dan rakan sendiri dengan pengambilan dadah jenis itu, sekali gus menunjukkan kaitan yang jelas dengan kejadian keganasan berkenaan.

"Jika kita melihat kes-kes ini, semuanya mempunyai kaitan rapat dengan pengambilan dadah. Kaitannya sangat jelas," katanya kepada pemberita hari ini.

Saifuddin berkata, corak pengambilan dadah juga berbeza mengikut wilayah dengan dadah sintetik lebih berleluasa di Pantai Timur, manakala penyalahgunaan dadah di Pantai Barat pula membabitkan campuran pelbagai jenis bahan terlarang.