Kuala Terengganu: Kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun maut selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Surau Cik Man, Kampung Surau Haji Daud dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 4.10 petang, yang memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori dan pejalan kaki.

"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira 3.40 petang semasa pemandu lori, yang datang dari arah Kampung Surau Haji Daud, terlanggar mangsa yang keluar secara tiba-tiba untuk mengambil bola yang tercampak di atas jalan raya.

"Kemalangan menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.