Kuala Lumpur: Rifdean Masdor mengalami kekecewaan di Tokyo apabila tewas kepada bintang Jepun, Yoshinari Nadaka, selepas pengadil menghentikan perlawanan pada pusingan kedua di Ariake Arena, hari ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu sebelum ini sudah kehilangan peluang untuk menjadi rakyat Malaysia kedua memegang gelaran dunia ONE Championship selepas gagal dalam ujian hidrasi, semalam, walaupun memenuhi had berat 115 paun (52.16 kilogram).

Pertarungan itu kemudian diteruskan dalam acara ONE Samurai 4 pada berat 118.6 paun (53.8kg), dengan Rifdean terpaksa menyerahkan 50 peratus wang pertarungannya kepada juara dunia Muay Thai atomweight ONE berkenaan.

Rifdean tampil agresif pada pusingan pertama sehingga Nadaka mendedahkan selepas pertarungan bahawa hidungnya patah akibat serangan petinju Malaysia itu.