Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) bangkit pada separuh masa kedua untuk mengikat Sabah FC, 1-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Meskipun dapat membariskan barisan terbaik termasuk pemain kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin yang sudah pulih daripada kecederaan selain penampilan pertama Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal, namun jentera serangan kurang menyengat.

Percubaan terbaik skuad Hobin Jang Hobin ialah pada minit ke-29 menerusi Luqman, bagaimanapun tendangan padu dilakukan penyerang kebangsaan itu dari dalam kotak penalti sedikit tersasar.

Sabah yang memperkemaskan serangan mereka berjaya mendapatkan gol pertama mereka menerusi percubaan dalam kotak penalti oleh Gonzalo Ignacuo Di Renzo pada minit ke-45 selepas dia tidak dikawal dengan baik dan dengan mudah menolak bola masuk ke dalam gawang tuan rumah menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Azri Ghani.