PETALING JAYA: Harapan Malaysia untuk membawa pulang kemenangan pada ONE SAMURAI 4 tidak kesampaian apabila dua petarung negara, Mohd Rifdean Masdor dan Jihin Radzuan masing-masing tewas di Ariake Arena, Tokyo, sebentar tadi.

Rifdean yang memburu kejuaraan dunia Muay Thai atomweight ONE gagal menumbangkan juara bertahan Jepun, Nadaka Yoshinari, apabila tewas menerusi Technical Knock Out (TKO) pada pusingan kedua.

Jaguh negara itu tersungkur akibat tendangan tinggi Nadaka pada pusingan kedua, sekali gus menyaksikan impiannya untuk memenangi perlawanan itu berkecai dikala dia turut terlepas peluang merangkul gelaran dunia selepas gagal melepasi had berat ditetapkan.

Kekalahan itu turut memutuskan rentetan lima kemenangan berturut-turut Rifdean, sekali gus menyaksikan Nadaka meneruskan dominasinya dalam divisyen berkenaan dengan 43 kemenangan.