GEORGE TOWN : Seorang remaja, M. Shaveel, 18, masih menyimpan harapan agar kedua ibu bapanya iaitu K. Mangalavanan, 50, dan P. Malani, 49, yang hilang dalam tragedi banjir di Nepal, Ogos lalu dapat ditemukan semula serta kembali ke pangkuan keluarga di tanah air.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, bapanya, Mangalavanan sebelum ini pernah mengimpikan untuk melihat dia melanjutkan pengajian ke luar negara termasuk menjadi peguam yang berjaya suatu hari nanti.

Bagaimanapun, Shaveel berkata, dia terpaksa menangguhkan impian itu buat seketika selepas kehilangan mereka dan kehilangan itu juga memberi kesan terhadap masa depannya apabila dia bakal menyambung pengajiannya dalam bidang perniagaan di Politeknik Seberang Perai (PSP) pada 22 November ini.