Kuala Lumpur: Di sebalik pengiktirafan yang diterima seorang pemimpin sukan, tersimpan sumbangan ramai individu yang bekerja di belakang tabir untuk memastikan sukan berbasikal terus berkembang, bukan sahaja di Malaysia, malah di pentas antarabangsa.
Semangat itulah yang dizahirkan Datuk Amarjit Singh Gill apabila menerima Anugerah Kepimpinan Ikon The BrandLaureate bagi Kepimpinan Global dalam Sukan Antarabangsa, dengan mendedikasikan penghormatan berkenaan kepada semua pihak yang bersama-sama membangunkan sukan berbasikal.
Amarjit berkata, kejayaan itu bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya mencerminkan komitmen bersama persekutuan kebangsaan, atlet, jurulatih, pegawai dan rakan kerjasama yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan berkenaan.








