KUALA LUMPUR: Daya tahan kewangan rakyat Malaysia berpendapatan peribadi bawah RM2,000 semakin terjejas apabila 39 peratus daripada mereka mempunyai simpanan yang hanya mampu menampung perbelanjaan kurang sebulan sekiranya kehilangan pekerjaan, meningkat daripada 35 peratus pada 2025.
Tinjauan Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) 2026 oleh RinggitPlus turut mendapati 36 peratus responden dalam kumpulan pendapatan itu tidak membuat sebarang simpanan bulanan berbanding 33 peratus pada tahun sebelumnya.
Sebaliknya, dalam kalangan responden berpendapatan peribadi RM2,000 dan ke atas, peratusan mereka yang mempunyai simpanan untuk bertahan kurang sebulan sekiranya kehilangan pekerjaan menurun kepada 14 peratus tahun ini berbanding 17 peratus pada 2025.









