Batu Pahat: Selepas enam kali gagal hadir prosiding sebutan kes, seorang penari akhirnya dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk, tahun lalu.

Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Bing Lee, 44, selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh, rayuan serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah turut mengambil kira kandungan alkohol dalam darah tertuduh yang melebihi tiga kali ganda daripada had dibenarkan.

Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar denda berkenaan dan diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 10 bulan sebagai ganti.