KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua bulan suaminya gagal dihubungi susulan bencana di Nepal, Hani Othman, kekal optimis dan masih menaruh harapan agar Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa kembali ke pangkuan keluarga.

Hani menerusi muat naik di Facebook hari ini, berkongsi Mohd Fakhrul Munir atau lebih dikenali sebagai Loe, beberapa kali hadir dalam mimpinya dan 'menyuarakan' hasrat ingin pulang.

"Trip kali ini, dia (Mohd Fakhrul Munir) pergi ke Nepal. Dia tidak janji dengan kami hendak pulang dengan selamat kerana trip ini santai. Ia bukan trip mendaki yang bahaya.

"Namun, aku tahu dia hendak balik. Tiga kali dia hadir dalam mimpi aku. Dia hendak balik," kata wanita berusia 40 tahun yang berasal dari Kampung Kupang, Kedah itu.