SHAH ALAM – Pas mengamanahkan dua Menteri Besar untuk menerajui gerak kerja pilihan raya parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual berlangsung pada 14 November depan.Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diberi tanggungjawab mengetuai Jawatankuasa Induk (JKI), manakala Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilantik mengetuai Jawatankuasa Operasi (JKO).Menurutnya, persiapan jentera Pas untuk menghadapi PRN Melaka telah digerakkan lebih awal, termasuk melibatkan negeri-negeri yang membantu operasi parti."Jentera utama Pas bersama negeri-negeri yang membantu sudah berada di Melaka sejak beberapa bulan lalu, sebaik sahaja PRN Negeri Sembilan selesai."Pimpinan Pas turut diberi mandat untuk memutuskan kawasan dan calon yang akan ditandingi selepas berunding dengan Pas Melaka," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerjasama antara BN dan Pas bagi menghadapi PRN Melaka.Menurut beliau, rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua pihak telah dimuktamadkan dengan BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pas bersama rakan gabungannya akan bertanding di tujuh kerusi.Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka Ke-16.SPR turut menetapkan tarikh penamaan calon pada 31 Oktober, manakala pengundian awal dijadualkan berlangsung pada 10 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.PRN Melaka kali ini akan melibatkan 28 kerusi DUN.Pada PRN lalu, BN memenangi 21 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.Berdasarkan data sehingga 20 April lalu, jumlah pemilih berdaftar di Melaka meningkat kepada 683,543 orang berbanding 495,195 pengundi pada PRN 2021, iaitu pertambahan kira-kira 38 peratus.