LONDON: Kemerosotan penglihatan akibat penyakit mata degenerasi makula berkaitan usia (AMD) menjejaskan kehidupan dan kerjaya pelakon veteran Britain, Dame Judi Dench, 91, sehingga beliau mengakui tidak lagi mampu berlakon di pentas atau dalam filem, malah membaca.

Agensi melaporkan, pemenang Oscar itu mendedahkan perkara berkenaan ketika ditemu bual Emma Barnett menerusi program Today di BBC Radio 4, baru-baru ini.

"Saya tidak boleh berada di pentas. Saya tidak boleh berlakon dalam teater lagi. Saya tidak boleh berlakon dalam filem lagi. Saya tidak boleh membaca lagi," katanya, menggambarkan kesan keadaan itu terhadap kehidupan seharian dan kerjayanya.

Dench dilaporkan didiagnosis menghidap AMD pada 2012. Penyakit mata degeneratif itu turut menyukarkannya mengecam wajah orang lain, termasuk ketika berada di tempat awam.