George Town: Seorang ejen hartanah direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung nahas maut yang mengorbankan dua rakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, semalam.

Majistret Nurhanisah S H Sahul Hamid membenarkan lelaki berusia 23 tahun itu direman selama dua hari selepas permohonan dikemukakan polis.

Peguamnya, RSN Rayer, berkata selepas prosiding, polis pada awalnya memohon tempoh reman empat hari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen itu berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah, atau melebihi had alkohol atau dadah yang ditetapkan, sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian orang lain.