Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius sebarang penyalahgunaan lesen perniagaan oleh warga tempatan yang membolehkan warga asing menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pendirian JIM adalah jelas bahawa pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) mahupun Pas Lawatan Sosial (PLS) tidak dibenarkan menjalankan atau mengendalikan perniagaan di Malaysia.

Menurutnya, sekiranya mereka didapati berniaga atau mengurus premis perniagaan tanpa kebenaran yang sah, tindakan boleh diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas.

"KDN juga akan memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap sindiket atau individu yang menyalahgunakan lesen perniagaan sebagai topeng kepada kegiatan melanggar undang-undang.