[PETALING JAYA: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, bertekad meneruskan dominasi di pentas Asia dengan memburu pingat emas keempat berturut-turut pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya.

Namun, misi tersebut dijangka tidak mudah apabila wakil Arab Saudi, Ali Bader menjadi pencabar utama selepas mencatatkan jarak terbaik musim ini sejauh 16.04 meter (m), mengatasi catatan terbaik Ziyad iaitu 15.69m.

Ziyad bagaimanapun kekal antara pilihan utama untuk menaiki podium tertinggi berdasarkan rekod cemerlangnya apabila memenangi emas dalam tiga edisi terdahulu, bermula di Incheon pada 2014, diikuti Jakarta-Palembang 2018 dan Hangzhou 2022.

Ziyad berkata, persiapan mental dan fizikalnya berada pada tahap terbaik menjelang pertandingan, selain memberikan tumpuan penuh untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya sejak penampilan sulung pada 2014.