Kuala Lumpur: Rokok seludup yang digelar 'hantu putih' didapati terus mendominasi pasaran di Lembah Klang susulan mendapat permintaan tinggi yang didorong faktor harganya serendah RM5 sekotak.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan di Lembah Klang mendapati penjualan rokok haram itu semakin berleluasa dengan harga ditawarkan antara RM5 hingga RM13 sekotak, jauh lebih rendah berbanding rokok berlesen di pasaran.

Situasi itu menarik minat golongan berpendapatan rendah dan pekerja asing yang mencari alternatif lebih murah.

Malah, bagi mengaburi mata pihak berkuasa, beberapa kedai runcit dikendalikan warga asing menyimpan rokok seludup di bawah kaunter dan hanya akan dikeluarkan jika diminta pelanggan.