TERUS terang dikatakan, penyanyi Black Hanifah antara pelantun vokal terbaik industri pernah lahirkan.

Perkara itu terbukti menerusi lagu-lagu hits seperti Aku Rindu Sayang Kamu, Sofea Jane, Teman Pengganti, Hijab Rindu dan banyak lagi yang berjaya mencuri perhatian sebelum ini.

Namun setahun dua kebelakangan ini Black atau nama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah didakwa memperlahankan kerjaya nyanyian demi memberi ruang kepada perniagaan Vila yang diusahakannya di Langkawi.

Amat jarang sekali kita melihat dia kedepan, sama ada di kaca televisyen atau corong radio. Ada pula yang mendakwa Black secara perlahan-lahan keluar dari dunia hiburan kerana wujudnya persaingan daripada pendatang baharu. Perkara itu ditanyakan kepada Black sewaktu sidang media lagu, Terlerai Sudah di Hard Rock Cafe baru-baru ini.