KETIKA ada sedikit masa terluang sepanjang tempoh bercuti baru-baru ini, penulis sempat meneroka media sosial yang akhirnya membawa kepada penemuan kisah seorang pekerja mengakui mengalami tekanan mental akibat bebanan di tempat kerja.
Penulis cuba menghubunginya sebelum mengatur pertemuan bagi mendengar lebih lanjut pengalamannya.
Beberapa hari kemudian, penulis bertemu wanita muda itu. Jelas terpancar tekanan pada wajahnya ketika menceritakan pengalaman dilalui, termasuk pengakuan pernah terfikir mahu membunuh diri kerana tidak lagi mampu menanggung bebanan kerja.
Pengakuan itu tidak boleh dipandang ringan. Ia mengingatkan kita tekanan di tempat kerja bukan sekadar isu produktiviti, sebaliknya boleh menjejaskan kesejahteraan mental, kehidupan peribadi dan keselamatan seseorang.






