PETALING JAYA: Pernah popular dengan lagu Bintang Bukannya Satu pada 1994, Datuk Leonard Tan terus aktif menghiburkan peminat dan berkongsi kepakaran dengan penyanyi baharu, seiring perubahan pesat industri hiburan sejak beberapa dekad lalu.
Dikenali sebagai 'Penyanyi 1,000 Suara' dan 'Raja Jingle', Tan membina kerjaya dalam pelbagai bidang merangkumi nyanyian, komedi, lakonan, seni suara, penerbitan muzik dan perundingan acara.
Keupayaan Tan meniru suara legenda muzik seperti Louis Armstrong, kumpulan Bee Gees dan Allahyarham Tan Sri P Ramlee menjadikannya penghibur serba boleh.
Suara Tan juga pernah menghiasi 'jingle' iklan pelbagai jenama terkenal termasuk KFC, A&W, Gardenia, McDonald's dan Proton.






