Tawau: Inspektor polis dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga tuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan siasatan kes dadah, tiga tahun lalu.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Crall Mark Bait, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga pertuduhan pindaan terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan setiap daripada ketiga-tiga pertuduhan yang dipinda di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 466 Kanun yang sama, melampaui keraguan munasabah.

"Oleh itu, saya mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkannya atas ketiga-tiga pertuduhan yang dipinda itu," katanya dalam penghakiman hari ini.