KOTA BHARU: Pas tidak gentar menggunakan simbol bulan sekiranya logo Perikatan Nasional (PN) tidak dapat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 14 November ini.
Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata langkah itu bertujuan meneruskan agenda penyatuan ummah dan menumbangkan Pakatan Harapan (PH).
“Kita akan hadapi PRN Melaka tidak lama lagi. Kalau tidak boleh guna logo PN, kita pakai logo Pas bersedialah. Kita tidak ada sebarang masalah.
“Mahkamah beri penangguhan kepada pembatalan yang dibuat secara haram kepada PN. Keputusan itu memberi ruang kepada PN untuk terus bergerak sebagai gabungan yang sah,” katanya semasa menyampaikan ceramah Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) Sempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam (BMI) di Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.









