KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menolak permohonan supaya keseluruhan prosiding saman sivil berhubung kes tikam sehingga menyebabkan seorang pelajar perempuan maut di sebuah sekolah di Petaling Jaya tahun lepas, dijalankan secara tertutup, dengan memutuskan bahawa orang ramai berhak mengetahui perkara yang berlaku.Hakim Datuk P Anand semasa menolak permohonan itu berkata, walaupun identiti defendan bawah umur mesti dilindungi, tiada justifikasi untuk mengenakan larangan menyeluruh terhadap pelaporan media.Beliau berkata, mahkamah perlu mengimbangi antara keperluan untuk melindungi remaja berkenaan daripada gangguan dan tekanan psikologi dengan prinsip keadilan terbuka, yang membolehkan orang awam meneliti prosiding mahkamah."Malah, sebahagian besar saman sivil itu melibatkan sama ada langkah-langkah berkesan telah diambil berhubung insiden di sekolah terbabit termasuk isu berkaitan dengan dasar dan sistem, dan bukannya tertumpu semata-mata kepada defendan bawah umur itu."Kes ini juga akan memberikan tumpuan sama ada pihak berkuasa berkaitan mempunyai kewajipan menjaga kesejahteraan pelajar bagi memastikan persekitaran selamat termasuk menangani isu kesihatan mental," katanya.Hakim Anand berkata, mahkamah mengambil maklum Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] yang mengehadkan pelaporan butiran yang boleh mengenal pasti seseorang kanak-kanak, selain mempertimbangkan kepentingan keadilan dan kepentingan awam."Terdapat banyak kes yang menyaksikan perintah dikeluarkan bagi melindungi kanak-kanak, namun prosiding tetap dijalankan dengan media dibenarkan membuat laporan, tertakluk pada sekatan tertentu," katanya.Hakim juga memutuskan bahawa defendan boleh memohon kemudian supaya saksi tertentu atau sebahagian daripada keterangan mereka boleh didengar secara tertutup jika keterangan itu berkemungkinan akan mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit."Walaupun kanak-kanak itu mesti dilindungi, saya tidak nampak sebarang alasan untuk mengenakan larangan penuh terhadap pelaporan. Orang awam akan mendapat manfaat dengan mengetahui perkara yang berlaku dan melalui penghakiman yang dibuat," katanya.Pada 1 Oktober lepas, keluarga Yap Shing Xuen, 16, memfailkan saman sivil itu dengan menamakan beberapa agensi kerajaan, ibu bapa kepada remaja lelaki yang membunuh Shing Xuen dan remaja itu sendiri sebagai defendan.Saman itu membangkitkan persoalan sama ada langkah-langkah secukupnya diambil untuk menangani tanda-tanda amaran dan isu kesihatan mental di sekolah, serta tanggungjawab defendan yang dinamakan dalam saman tersebut.Pada 14 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan dan melepaskan remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh selepas mendapati bahawa dia tidak waras ketika kejadian berlaku.Mahkamah memerintahkan remaja itu ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, atas perkenan Sultan Selangor bagi menjalani rawatan.Jabatan Peguam Negara kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan. - Bernama