KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan seorang remaja lelaki supaya keseluruhan prosiding saman sivil terhadapnya berhubung kes tikam maut pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, dijalankan secara tertutup.
Hakim Datuk P Anand berkata, identiti remaja bawah umur itu boleh dilindungi menerusi langkah khusus tanpa perlu menghalang orang ramai dan media daripada mengikuti keseluruhan prosiding.
Beliau berkata, mahkamah perlu mengimbangi keperluan melindungi kanak-kanak berkenaan daripada risiko gangguan dan tekanan psikologi dengan prinsip keadilan terbuka serta kepentingan awam untuk mengetahui perjalanan prosiding dan keputusan mahkamah.








