Badan Peguam memohon kebenaran untuk mencabar rancangan kerajaan menghantar pulang kira-kira 5,000 warga Myanmar.KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Badan Peguam untuk menghentikan sementara penghantaran pulang kira-kira 5,000 pelarian dan pencari suaka warga Myanmar, memutuskan bahawa penangguhan tidak boleh dibenarkan sebelum kebenaran bagi semakan kehakiman diberikan.

Hakim Norliza Othman berkata penolakan ini tidak menjejaskan hak Badan Peguam untuk memperbaharui permohonan, selepas mahkamah memutuskan sama ada mahu memberikan kebenaran bagi semakan kehakiman atau sebaliknya.

Permohonan kebenaran itu ditetapkan untuk pendengaran pada 8 Disember.

Badan Peguam memohon kebenaran untuk mencabar rancangan kerajaan bagi menghantar pulang kira-kira 5,000 warga Myanmar, termasuk etnik Rohingya dan kanak-kanak yang diiktiraf oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian atau pencari suaka.