SUNGAI PETANI: Tindakan menyimpan 3,383 paket minyak masak bersubsidi di sebuah premis pakaian terpakai (bundle) terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Kawasan Industri Ringan Kemuning, semalam.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan kira-kira pukul 2 petang itu dilakukan selepas risikan sejak minggu lalu susulan maklumat awam berhubung kegiatan disyaki menyeleweng barang kawalan itu.
Menurutnya, penguat kuasa KPDN terpaksa menunggu lebih empat jam sebelum pintu premis dibuka oleh dua lelaki berusia 18 dan 26 tahun yang mengaku sebagai adik-beradik serta anak kepada pemilik premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui 3,383 paket minyak masak bersubsidi bernilai RM8,457.50 yang disimpan di dua lokasi berasingan di dalam premis itu,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi itu, semalam.









