KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menafikan melantik mana-mana pihak ketiga untuk mengendalikan urusan pengambilan pekerja, susulan kewujudan akaun TikTok ‘kerjaya.ktmb’ yang menyalahgunakan nama dan logo syarikat itu bagi menawarkan pekerjaan palsu.
KTMB memaklumkan akaun berkenaan juga cuba mendapatkan maklumat peribadi pengguna dan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada serta tidak memberikan maklumat peribadi melalui saluran yang tidak disahkan.
“KTMB ingin menegaskan pihaknya tidak melantik mana-mana pihak ketiga atau mewujudkan akaun media sosial khas untuk mengendalikan urusan pengambilan pekerja seperti yang didakwa oleh akaun berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Syarikat pengendali perkhidmatan rel itu memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung penyalahgunaan nama dan logo KTMB serta penyebaran tawaran pekerjaan palsu berkenaan.









