IPOH: Polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan kemalangan membabitkan dua wartawan apabila kereta yang dinaiki mereka dilanggar sebuah lori di Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Kledang Permai, Menglembu, di sini hari ini

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 5.45 pagi ketika kereta dinaiki kedua-dua wartawan berkenaan dalam perjalanan dari Meru menghala ke Bagan Datuk.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang datang dari arah sama.

“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan berpusing di atas jalan raya manakala lori terbabas ke dalam longkang di bahu jalan,” katanya di sini hari ini.