KUALA LUMPUR: Kapal Malaysia yang dipintas pihak berkuasa Indonesia bersama rampasan 1.16 tan ketamin dipercayai menerima bekalan dadah itu daripada sebuah kapal induk asing di Laut Andaman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kapal induk asing itu dipercayai berdaftar di sebuah negara dalam rantau Segi Tiga Emas.

"Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Polis Indonesia (Polri), dadah itu dipindahkan melalui kaedah pemindahan dari kapal ke kapal di Laut Andaman," katanya kepada New Straits Times (NST).

Kaedah pemindahan dari kapal ke kapal membabitkan pemindahan kargo secara langsung antara dua kapal di laut tanpa perlu berlabuh di pelabuhan.