KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) menggondol 11 anugerah menerusi TV3 dan Tonton pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, malam tadi.

Program Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39) menerajui kejayaan itu dengan meraih pengiktirafan dalam beberapa kategori iaitu Hiburan Muzikal TV Terbaik, Penataan Cahaya TV Terbaik, Pengimbangan Muzik TV Terbaik dan Set TV Terbaik.

Difahamkan, keempat-empat kemenangan bermakna itu diperoleh sebagai meraikan gabungan kreativiti dan ketelitian teknikal yang menghidupkan persembahan pentas untuk penonton.

Jamira Ramli memenangi kategori Hiburan Muzikal TV Terbaik, diikuti Nageswara (Penataan Cahaya TV Terbaik), Mohd Zaidi Taib (Pengimbangan Muzik TV Terbaik) dan Muhamad Hafizan Muhammad Nor (Set TV Terbaik).