Tokyo: Bekas pemain nombor satu dunia, Naomi Osaka memberi bayangan mengenai masa depannya dalam tenis apabila berkata dia mungkin mempertimbangkan untuk bersara sekiranya anak perempuannya yang berusia tiga tahun, Shai, memintanya berbuat demikian.
Juara empat gelaran Grand Slam dari Jepun itu berehat selama 15 bulan selepas melahirkan Shai sebelum kembali beraksi pada 2023.
Dia kini berada di Tokyo untuk beraksi pada Terbuka Pan Pacific minggu ini dan berkata bergelar ibu mengubah keutamaannya.
"Saya tidak akan mengatakan saya melakukannya secara sambilan tetapi keseluruhan hari saya tidak lagi tertumpu kepada perkara itu," kata pemain berusia 29 tahun itu yang kini berada di ranking ke-19 dunia.









