Kuantan: Tiada ikan piranha ditemukan atau ditangkap sepanjang Program Mitigasi Ikan Asing di Empangan Klau, Raub, yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, kata Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain.

Bagaimanapun, keadaan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai bukti bahawa spesies berkenaan tiada di empangan berkenaan, susulan laporan terdahulu mengenai penemuan piranha yang telah disahkan di kawasan itu.

Beliau berkata, program mitigasi itu adalah antara usaha pengurusan perikanan darat bagi mengawal populasi ikan asing dan mengurangkan risiko gangguan terhadap spesies ikan tempatan.

"Tiada ikan piranha ditemukan atau ditangkap sepanjang program ini. Namun, pemantauan dan penilaian saintifik perlu diteruskan bagi mengenal pasti kehadiran serta taburan spesies berkenaan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.