KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan strategik negara dalam menghadapi ancaman geopolitik di Selat Melaka dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat esok, susulan kebimbangan terhadap potensi gangguan maritim di laluan perkapalan penting dunia itu.
Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) dijadualkan meminta penjelasan Menteri Pertahanan mengenai tahap ketahanan dan kesiapsiagaan pertahanan negara sekiranya Selat Melaka menjadi titik panas geopolitik seperti krisis ketegangan di Selat Hormuz.
Pertanyaan itu turut meliputi koordinasi strategik antara Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan agensi berkaitan bagi menjamin keselamatan perairan, kebebasan pelayaran serta perlindungan kedaulatan negara.









