IPOH - Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan membabitkan kereta dinaiki dua wartawan dengan sebuah lori di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Taman Kledang Permai dekat Menglembu pada Ahad, tampil membantu siasatan.Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya turut meminta pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang berada di lokasi kejadian ketika kemalangan berlaku supaya menyalurkan maklumat kepada polis.Menurutnya, maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan terus ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh."Berdasarkan siasatan awal, kereta dinaiki dua wartawan itu sedang dalam perjalanan dari arah Meru Raya menuju ke Bagan Datuk."Setibanya di lokasi kejadian, kereta berkenaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang datang dari arah sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu berlaku ketika mangsa, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur Afiradina Arshad, 34, dan wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37, berhenti di persimpangan tersebut kerana keadaan lampu isyarat merah.Kedua-dua mereka menaiki kereta jenis Perodua Bezza dalam perjalanan dari Meru Raya bagi membuat liputan majlis perasmian program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk yang dihadiri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Nur Afiradina yang memandu kereta menerima rawatan di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akibat cedera di tangan dan leher manakala Zahratulhayat menerima rawatan pesakit luar dengan kesan lebam di muka dan tangan.Mengulas lanjut, Mohd Alwi berkata, impak pelanggaran menyebabkan kereta berkenaan berpusing di atas jalan raya, manakala lori terbabas ke dalam longkang di bahu jalan."Dalam kejadian ini, dua wartawan bersama pemandu lori masing-masing mengalami kecederaan dan dihantar ke HRPB bagi rawatan lanjut," katanya.Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mengekalkan jarak selamat antara kenderaan dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.