Kuala Berang: Seorang lelaki rentung apabila motosikal ditunggangnya terbakar selepas merempuh belakang Toyota Hilux di Kilometer 399.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Bukit Besi menghala ke Ajil, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa, Wan Amir Faiz Jamal Paisal, 20, dari Kampung Hutan Kuin, Machang, Kelantan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku jam 12.53 tengah hari ketika Toyota Hilux berhenti di lorong kecemasan kerana salah sebuah motosikal dalam konvoi mereka mengalami kerosakan.
Katanya, pemandu dan penumpang Toyota Hilux itu dalam perjalanan pulang ke Gua Musang, Kelantan selepas menghadiri acara Enjoy Oktober di Kuantan, Pahang, bersama konvoi 10 motosikal yang lain.









