Kuala Lumpur: Di sebalik tembok penjara asing, ada rakyat Malaysia yang sedang menghitung hari menanti hukuman mati, manakala sebahagian lagi berdepan kemungkinan menghabiskan sisa kehidupan di sebalik jeriji besi selepas terjerat sebagai keldai dadah.

Kes-kes seumpama ini menimbulkan persoalan mengenai peranan sindiket dadah rentas sempadan yang semakin licik mengeksploitasi individu termasuk mereka yang tidak mempunyai rekod jenayah untuk dijadikan pembawa bahan terlarang.

Pakar Kriminologi dan pensyarah kanan Universiti Malaya, Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini tidak lagi tertumpu kepada individu yang mempunyai latar belakang jenayah sebaliknya sesiapa sahaja yang mudah dipengaruhi berisiko menjadi sasaran.