Lahad Datu: Enam individu termasuk tiga wanita ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah restoran di bandar ini yang dipercayai berpunca daripada cemburu.

Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu kira-kira jam 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata tangkapan dibuat susulan maklumat yang diterima polis berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan itu dipercayai bermula akibat cemburu membabitkan seorang pekerja lelaki dan seorang pekerja wanita di premis berkenaan.