KEMAMAN – Seorang kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) maut selepas disengat sekumpulan lebah di Stesen Mardi Kemaman, Jalan Air Putih, di sini, semalam.
Mangsa, Hafizul Mat Nor, 40, terkena sengatan lebah terbabit sewaktu mahu mengambil madu dari sarang yang terdapat di atas sebatang pokok di kawasan tempat kerjanya pada pukul 9.50 pagi.
Dia menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman, di sini kira-kira sembilan jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, sewaktu kejadian Hafizul dikatakan memanjat sebatang pokok setinggi tiga meter untuk mengambil madu lebah.









